UMNO Tangguh Mesyuarat Bahagian, Fokus Penuh Hadapi PRN Johor

KUALA LUMPUR: UMNO menangguhkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian serta mesyuarat perwakilan sayap parti bagi tahun 2026 bagi memastikan seluruh kekuatan jentera parti dapat digerakkan sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Keputusan tersebut dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas persiapan parti menjelang kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan pelaksanaan pilihan raya negeri itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penangguhan itu membolehkan seluruh kepimpinan dan ahli parti di pelbagai peringkat memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan organisasi serta gerak kerja pilihan raya.

Menurut beliau, keutamaan UMNO ketika ini adalah memastikan jentera parti berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRN Johor yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, katanya, parti tetap komited mematuhi segala peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO berkaitan pelaksanaan mesyuarat perwakilan di peringkat bahagian.

“Bagi memastikan ketetapan Perlembagaan UMNO dipatuhi, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian serta Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memaklumkan bahawa Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO di peringkat bahagian ditetapkan berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai 2026.

Tambahnya, pihak parti akan menyalurkan maklumat lanjut berhubung kaedah dan pelaksanaan mesyuarat tersebut dari semasa ke semasa bagi memastikan perjalanan mesyuarat di semua bahagian dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

BBerkaitan

Latest articles