​’Mana Reformasi?’ – Wong Chen Persoal Sekatan Peruntukan Parlimen Blok Kerajaan

​KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menzahirkan rasa kesal berhubung isu sekatan akses peruntukan parlimen yang turut menimpa Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung sambil mempersoalkan agenda reformasi yang diperjuangkan sebelum ini.

​Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di Facebook sebagai respon segera susulan pendedahan terbuka Chean Chung mengenai status sistem MyKhas miliknya hari ini.

​”Chean Chung, saya simpati mendengar khabar bahawa anda juga telah disekat. Apapun, selamat datang ke kelab,” katanya secara sinis bagi menggambarkan situasi terbaharu yang dihadapi oleh dua wakil rakyat daripada blok kerajaan itu.

​Wong Chen turut menzahirkan penghargaan kepada Chean Chung kerana membangkitkan semula intipati manifesto Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya menghapuskan kuasa budi bicara Perdana Menteri dalam pengagihan peruntukan kawasan.

​”Saya membaca kenyataan anda; terima kasih kerana mengingatkan semua pihak mengenai manifesto Pakatan Harapan yang sepatutnya menarik balik kuasa budi bicara Perdana Menteri (PM) ke atas peruntukan kawasan, dan menyerahkan kuasa tersebut secara langsung kembali kepada Parlimen Malaysia,” katanya.

​Beliau secara terbuka mempersoalkan slogan perjuangan gabungan itu dengan menulis premis ringkas, “Entah mana Reformasi?”.

​Terdahulu, media melaporkan Pejabat Parlimen Petaling Jaya pimpinan Chean Chung tidak lagi dapat mengakses sistem MyKhas sejak 29 Mei lalu, menyebabkan urusan berkaitan peruntukan pembangunan kawasan dan Projek Mesra Rakyat (PMR) tergendala sepenuhnya.

​Sebelum insiden tersebut, Wong Chen merupakan Ahli Parlimen daripada komponen parti kerajaan pertama yang dikesan menghadapi situasi sekatan akses saluran dana parlimen yang sama tanpa sebarang alasan bertulis.

​Isu ini mencetuskan kritikan memandangkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, termasuk enam daripada Bersatu sebelum ini dilaporkan berjaya menerima peruntukan selepas mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

​Sekatan akses tersebut juga dispekulasikan mempunyai kaitan rapat dengan kehadiran Chean Chung dan Wong Chen ke majlis pelancaran sebuah parti baharu anjuran Rafizi Ramli serta Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu.

​Setakat ini, kepimpinan tertinggi PKR mahupun pihak kerajaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau mengemukakan surat tunjuk sebab berhubung sekatan yang dihadapi oleh kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles