Sidang Media MB N. Sembilan Batal Mengejut, Spekulasi Pembubaran DUN Bertebaran

SEREMBAN: Sidang media yang dijadualkan diadakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dibatalkan pada saat akhir hari ini, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan ketika desas-desus mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin hangat diperkatakan.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sebelum itu menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap selama lebih sejam pada sebelah pagi.

Sidang media yang dirancang berlangsung di Bilik Gerakan Wisma Negeri pada jam 1.30 tengah hari bagaimanapun tidak diteruskan selepas pihak Menteri Besar memaklumkan penangguhan tersebut kepada pengamal media yang telah hadir menunggu.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, pembatalan itu dibuat atas sebab yang tidak dapat dielakkan kerana Aminuddin mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan.

Menurut beliau, Menteri Besar terlebih dahulu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermula sekitar jam 11 pagi sebelum berakhir kira-kira satu setengah jam kemudian.

Turut mengiringi Aminuddin ketika sesi menghadap Tuanku Muhriz ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.

Walaupun pertemuan antara Menteri Besar dan Yang di-Pertuan Besar merupakan amalan biasa dalam pentadbiran negeri, perhatian kali ini lebih tertumpu berikutan spekulasi bahawa DUN Negeri Sembilan mungkin dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Semalam, Aminuddin turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar.

Mesyuarat tersebut dilaporkan memberi penekanan terhadap persiapan menghadapi PRN yang dijangka menjadi medan penting bagi semua parti politik di negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles