Dua Kertas Siasatan Libat Azam Baki Dirujuk Kepada AGC

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua kertas siasatan yang membabitkan dakwaan fitnah terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, serta tuduhan salah guna kuasa akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat bagi tindakan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, proses siasatan bagi kedua-dua kes berkenaan kini berada pada peringkat akhir selepas pihak polis selesai merakam keterangan Azam mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut beliau, siasatan pertama melibatkan penerbitan artikel oleh portal Bloomberg.com yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah berhubung pemilikan saham dalam Velocity Capital Partner Berhad, manakala siasatan kedua berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang individu dikenali sebagai Albert Tei.

“Kesemua hasil siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan nasihat serta arahan lanjut berhubung tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan dan perjalanan undang-undang.

Tegasnya, PDRM kekal berpegang kepada prinsip ketelusan dan integriti dalam setiap siasatan yang dijalankan serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

Terdahulu, Azam mengesahkan beliau hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung dakwaan yang dibuat terhadapnya oleh Albert Tei.

Memetik laporan New Straits Times, beliau tiba sekitar jam 9 pagi dan meluangkan hampir dua jam menjawab soalan pegawai penyiasat daripada JSJ Bukit Aman.

BBerkaitan

Latest articles