JOHOR BAHRU: Seorang wanita muda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu atas pertuduhan menyebabkan kematian salah seorang bayi kembar perempuannya selepas dipercayai mencampak mangsa dari tingkat 10 sebuah flat bulan lalu.
Tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Mengikut pertuduhan, wanita yang masih bujang itu didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian bayi perempuan berkenaan dengan niat mendatangkan kecederaan yang berkemungkinan membawa kepada kematian mangsa.
Kejadian didakwa berlaku di kawasan parkir sebuah blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Sutera Utama antara jam 11 pagi hingga 2.30 petang pada 20 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Nevina, manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kes tersebut pada asalnya tidak layak dijamin, selain memohon tarikh lain ditetapkan bagi pembentangan fakta kes dan hukuman.
Bagaimanapun, Nuran Batrisya merayu agar dibenarkan diikat jamin dengan alasan perlu menjaga seorang lagi bayi yang baru dilahirkan, iaitu kembar kepada mangsa yang maut.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Selain itu, tertuduh diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Hakim turut mengeluarkan arahan supaya tertuduh tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sepanjang proses perbicaraan berlangsung.
Mahkamah menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pembentangan fakta kes serta penetapan hukuman.
Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat kejadian kematian seorang bayi perempuan yang dipercayai dicampak dari tingkat 10 sebuah PPR selepas insiden berkenaan tular di media sosial.










