Wanita BN Mahu Lebih Ramai Calon Wanita Untuk PRN Johor

PUTRAJAYA: Wanita Barisan Nasional (BN) terus memperkukuh usaha untuk memastikan lebih ramai calon wanita diketengahkan khususnya dalam Pilihan Raya Negeri Johor akan datang.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Johor ketika ini antara negeri yang mencatatkan peratusan penyertaan calon wanita BN yang agak baik, namun usaha penambahbaikan akan terus dilakukan melalui perbincangan bersama kepimpinan parti.

Menurut beliau, sasaran tersebut akan diperhalusi bersama pimpinan tertinggi termasuk Presiden parti dan kepimpinan negeri bagi memastikan lebih ramai wanita diberi ruang dalam proses pembentukan calon pilihan raya akan datang.

“Wanita Barisan Nasional memang mahukan supaya calon-calon wanita dapat diketengahkan.

“Johor antara negeri yang mempunyai calon wanita Barisan Nasional paling tinggi ketika ini dan kita mahu perkara itu terus diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Lawatan Media ke KVDT, Puchong & Petronas Presint 16, Putrajaya pada Rabu.

Noraini berkata, ketika ini peratusan calon wanita di Johor dianggarkan sekitar 20 hingga 26 peratus dan pihaknya menyasarkan peningkatan berterusan dalam pilihan raya akan datang.

“Kita akan berbincang dengan Menteri Besar dan juga Presiden parti.

“Sasaran kita adalah untuk memastikan lebih ramai wanita diketengahkan, sekurang-kurangnya lebih baik daripada pencapaian sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan penyertaan wanita dalam politik bukan sekadar memenuhi kuota, sebaliknya bagi memastikan suara dan perspektif wanita turut memainkan peranan penting dalam proses membuat keputusan serta pembangunan negara.

BBerkaitan

Latest articles