JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan senarai calon Barisan Nasional (BN) yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah palsu serta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan parti itu.
Pengerusi BN Johor itu berkata, orang ramai diminta supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat berkenaan kerana sebarang pengumuman rasmi mengenai calon yang bakal bertanding hanya akan dibuat menerusi saluran rasmi parti.
Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum mengenai penyebaran satu senarai yang mendakwa memaparkan calon BN bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, termasuk namanya sendiri sebagai penyandang kerusi DUN Machap.
“Senarai yang sedang beredar itu adalah tidak benar. Sebarang pengumuman rasmi berkaitan calon BN akan dibuat melalui platform rasmi parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Onn Hafiz berkata, suasana menjelang pilihan raya lazimnya membuka ruang kepada penyebaran pelbagai bentuk fitnah, khabar angin, provokasi dan berita palsu yang bertujuan mengelirukan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih berwaspada serta tidak menerima sesuatu maklumat bulat-bulat tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
Katanya, amalan tabayyun atau menyemak kesahihan fakta perlu dijadikan budaya bagi memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang tepat daripada sumber yang sahih.
“Dapatkan maklumat daripada saluran rasmi sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu berita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penyebaran maklumat tidak sahih bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, malah berisiko menjejaskan keharmonian masyarakat serta kelancaran proses demokrasi yang sedang berlangsung.
Dalam pada itu, Onn Hafiz mengajak semua pihak agar mengekalkan budaya politik yang matang, beretika dan bertanggungjawab sepanjang tempoh kempen PRN.
PRN Johor akan diadakan susulan pembubaran DUN Johor pada Isnin lalu, sekali gus membuka laluan kepada proses pilihan raya negeri dalam masa terdekat.










