JOHOR BAHRU: Misteri penemuan mayat seorang bayi perempuan di kawasan parkir sebuah rumah pangsa di bandar raya ini bulan lalu akhirnya membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan yang dipercayai merupakan ibu kepada mangsa.
Wanita berusia 22 tahun itu diberkas polis kira-kira jam 12 tengah hari semalam di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi membantu siasatan berhubung kejadian tragis yang berlaku pada 2 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi berkenaan sekitar jam 2.40 petang di kawasan parkir rumah pangsa terbabit.
Menurut beliau, hasil siasatan dan keterangan yang diperoleh membawa kepada penahanan suspek yang dipercayai telah mencampakkan bayi yang masih hidup dari tingkat 10 bangunan tersebut sehingga menyebabkan kematian.
Katanya, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis turut mengambil keterangan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan suspek dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini bagi pertuduhan berkaitan. – BERNAMA










