Wanita Malaysia Ditahan Di Nigeria, Disyaki Bawa 31 Kg Dadah Dalam Bagasi

LAGOS: Cubaan seorang wanita warga Malaysia membawa masuk dadah seberat 31 kilogram ke Nigeria berakhir dengan penahanan apabila dia dicekup pihak berkuasa sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed, Lagos, bulan lalu.

Wanita berusia 63 tahun itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) selepas pemeriksaan mendapati dua bagasi yang dibawanya mengandungi dadah jenis Canadian Loud dalam jumlah yang besar.

Menurut laporan media tempatan, The Guardian Nigeria, suspek yang dikenali sebagai Ting Hung Kiong ditahan pada 17 Mei lalu di terminal ketibaan lapangan terbang berkenaan selepas tiba menerusi penerbangan Emirates.

Siasatan mendapati wanita berstatus warga Malaysia naturalisasi itu dipercayai memulakan perjalanan dari Malaysia ke Thailand sebelum meneruskan penerbangan ke Nigeria melalui Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pihak berkuasa percaya suspek membawa dua bagasi besar yang digunakan untuk menyembunyikan bahan terlarang berkenaan sepanjang perjalanan rentas negara tersebut.

Ketika disoal siasat, wanita itu mendakwa kos perjalanannya ditanggung oleh anak perempuannya.

Beliau turut memaklumkan telah berada di Thailand selama kira-kira dua minggu sebelum menerima bungkusan yang diarahkan untuk dihantar ke Nigeria.

NDLEA kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan, termasuk sumber bekalan dadah serta individu yang mengatur penghantaran tersebut.

BBerkaitan

Latest articles