JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) tidak sekadar mahu mempertahankan kemenangan di Johor, malah meletakkan sasaran lebih tinggi untuk melepasi pencapaian 40 kerusi yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai calon yang bakal membawa panji parti pada PRN Johor telah diterima daripada Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kini sedang melalui proses penelitian sebelum dimuktamadkan.
Menurut beliau, pemilihan calon perlu dibuat secara teliti memandangkan BN turut mengambil kira cadangan yang dikemukakan oleh parti-parti komponen dalam gabungan berkenaan.
“Nama-nama calon sedang dinilai dan pada masa sama kita perlu menghormati pencalonan yang dibawa oleh parti-parti komponen BN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid mengesahkan Onn Hafiz akan terus menjadi wajah utama atau “poster boy” BN bagi menghadapi PRN Johor, sekali gus menamatkan sebarang spekulasi mengenai kepimpinan parti di negeri itu.
Presiden UMNO itu menegaskan BN memasuki medan pilihan raya kali ini dengan keyakinan tinggi untuk mencatat keputusan lebih baik berbanding tahun 2022, namun mengingatkan bahawa kemenangan tidak akan hadir secara mudah.
Katanya, kejayaan hanya mampu dicapai menerusi gerak kerja tersusun, kekuatan jentera di semua peringkat serta strategi kempen yang berkesan.
Beliau turut menyandarkan keyakinan tersebut kepada pelbagai dasar dan inisiatif yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran BN, yang menurutnya memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan mampu meningkatkan sokongan pengundi.
Mengulas hubungan BN dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN itu, Ahmad Zahid menolak tanggapan bahawa keputusan kedua-dua pihak untuk bertanding secara berasingan mencerminkan keretakan hubungan politik.
Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaan negeri Johor yang wujud ketika ini adalah kerajaan BN yang dibentuk sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Kerajaan Johor adalah kerajaan BN, bukannya Kerajaan Perpaduan. BN Johor telah membuka ruang kepada PH untuk bertanding secara persahabatan di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Semalam, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sekali gus membuka laluan kepada PRN baharu.
Sebelum ini, beliau turut mengesahkan BN Johor akan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pada PRN Johor 2022, BN mencatat kemenangan besar dengan menguasai 40 kerusi DUN, manakala PH memenangi 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi. Keputusan itu kini menjadi penanda aras yang mahu diatasi BN dalam percaturan politik negeri kali ini.










