PUTRAJAYA: Bermula 1 Jun, pengguna media sosial di Malaysia perlu melalui proses pengesahan umur apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menguatkuasakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Langkah itu dilihat sebagai antara reformasi terbesar dalam ekosistem digital negara bagi memastikan platform media sosial menjadi ruang yang lebih selamat, khususnya untuk golongan kanak-kanak dan remaja.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, MCMC memaklumkan semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen diwajibkan melaksanakan pendekatan “safety by design” atau keselamatan melalui reka bentuk, selain menyediakan perlindungan yang bersesuaian mengikut umur pengguna.
Melalui pelaksanaan tersebut, platform media sosial perlu mengesahkan umur pengguna dan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan membuka akaun baharu serta mengakses fungsi yang ditetapkan mengikut kategori umur.
“Pengesahan umur hendaklah dibuat menggunakan dokumen rasmi yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia atau dokumen setara daripada pihak berkuasa luar negara yang diiktiraf kerajaan,” menurut kenyataan itu.
MCMC menjelaskan syarat baharu itu berkuat kuasa terhadap semua pendaftaran akaun baharu bermula 1 Jun 2026.
Bagi pengguna sedia ada pula, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat oleh penyedia platform dalam tempoh sehingga enam bulan.
Sepanjang tempoh peralihan itu, mana-mana pengguna yang dikenal pasti berusia bawah 16 tahun akan diberikan masa selama sebulan untuk memuat turun, menyimpan atau memindahkan kandungan peribadi mereka seperti gambar dan video sebelum sebarang tindakan sekatan atau penggantungan akaun dilaksanakan.
Keperluan tersebut melibatkan semua platform media sosial berlesen yang beroperasi di Malaysia termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius sebarang kegagalan penyedia platform mematuhi tanggungjawab yang ditetapkan di bawah ONSA dan CPC.
“Semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen perlu memastikan mekanisme pengesahan umur yang berkesan dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan. Sebarang ketidakpatuhan boleh dikenakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Selain memberi fokus kepada perlindungan kanak-kanak, Kod Pengurangan Risiko (RMC) turut mewajibkan platform digital mengambil langkah pencegahan yang lebih proaktif termasuk menjalankan penilaian risiko, memperkukuh sistem penyederhanaan kandungan, menyediakan ciri keselamatan pengguna serta meningkatkan tahap akauntabiliti operasi platform.
MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan syarikat teknologi, pemain industri dan masyarakat bagi memastikan ruang digital negara berkembang secara lebih selamat, bertanggungjawab dan mesra pengguna.










