Lumba Haram Disyaki Punca Tragedi Sehingga Empat Sekeluarga Terkorban – Polis

KLUANG: Tindakan dua pemandu kereta mewah dipercayai memandu laju dan secara melulu dipercayai menjadi punca kemalangan tragis yang meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Kluang, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati sebuah BMW 530e yang dipandu lelaki berusia 22 tahun bergerak dari arah bandar Kluang menuju ke Simpang Renggam bersama sebuah Mercedes-Benz A250 dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun.

Menurut beliau, kedua-dua kenderaan dipercayai dipandu dalam keadaan berbahaya sebelum BMW terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Polis menerima laporan kejadian pada jam 1.15 tengah hari melibatkan lima kenderaan. BMW itu kemudiannya merempuh empat kenderaan lain iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah Mercedes-Benz yang berada di laluan bertentangan sebelum terbabas ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian itu, pemandu Toyota Vios berusia 36 tahun dan isterinya, 33, maut di lokasi akibat kecederaan parah.

Turut terkorban ialah seorang wanita berusia 73 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dipercayai berada dalam kenderaan sama.

Bahrin berkata, semua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan serius pada bahagian kepala dan badan.

Beliau turut memaklumkan pemandu BMW 530e yang menjadi punca kemalangan itu meninggal dunia ketika dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, dua kanak-kanak yang menaiki Perodua Alza, masing-masing berusia 11 dan tujuh tahun, mengalami kecederaan di kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Pemandu Alza berusia 43 tahun pula cedera pada kaki, manakala pemandu Proton Wira berumur 22 tahun mengalami kecederaan di mulut.

Seorang wanita berusia 57 tahun yang memandu Mercedes-Benz hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa yang cedera sedang dirawat di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan pemandu Mercedes-Benz A250 serta merampas kenderaan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. Permohonan reman akan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang.

BBerkaitan

Latest articles