KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi menetapkan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sejurus menerima pemberitahuan rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor daripada Speaker Dewan Negeri.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, mesyuarat berkenaan penting bagi menentukan tarikh-tarikh utama pilihan raya termasuk hari penamaan calon, hari pengundian serta tarikh pengundian awal.
Menurut beliau, SPR mengambil maklum pengumuman yang dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung pembubaran DUN Johor Ke-15 yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
“SPR akan memaklumkan tarikh Mesyuarat Khas selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor berhubung pembubaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran DUN Johor dalam sidang media khas yang berlangsung di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru, bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN negeri itu.
Beliau menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas memperoleh titah perkenan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menerusi sesi menghadap yang berlangsung pada hari sama.
Dengan pembubaran DUN berkenaan, tumpuan kini terarah kepada SPR untuk menetapkan jadual rasmi pilihan raya yang bakal menentukan hala tuju pentadbiran negeri Johor bagi penggal seterusnya.










