KUALA LUMPUR: Malaysia berhak menuntut pampasan yang adil daripada Norway dan syarikat berkaitan susulan pembatalan lesen eksport peluru berpandu anti-kapal Naval Strike Missile (NSM), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan kepada negara, malah mengakibatkan kehilangan masa dan peluang strategik yang bernilai dalam usaha memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara.
Katanya, sejumlah besar dana awam telah diperuntukkan bagi program perolehan berkenaan dan sekiranya pihak Norway memaklumkan lebih awal mengenai keputusan pembatalan lesen eksport itu, peruntukan tersebut boleh disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan seorang penganalisis pertahanan yang dilaporkan media tempatan, yang mencadangkan agar Malaysia melupakan perjanjian NSM tersebut dan segera mencari alternatif lain.
Mengulas perkara itu, Khaled menjelaskan bahawa kerajaan sememangnya sedang meneliti pelbagai pilihan bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.
Namun, beliau menegaskan bahawa isu berkenaan tidak boleh dianggap selesai tanpa sebarang bentuk pertanggungjawaban daripada pihak yang terlibat.
Menurutnya, usaha menggantikan sistem NSM bukan proses yang mudah memandangkan teknologi dan kemampuan sistem tersebut memerlukan masa yang panjang untuk diganti.
Tambahan pula, proses mendapatkan sistem alternatif melibatkan rundingan kontrak baharu serta integrasi teknikal dengan aset sedia ada, yang memerlukan kos dan sumber yang besar.
“Isu ini bukan sekadar melibatkan kontrak antara dua pihak, tetapi turut memberi kesan langsung terhadap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu menghantar mesej yang jelas kepada Norway serta komuniti pertahanan antarabangsa bahawa tindakan membatalkan komitmen sedemikian tidak boleh berlaku tanpa sebarang implikasi.
Katanya, Norway perlu dipertanggungjawabkan menerusi mekanisme yang sesuai bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa hadapan, selain menjadi peringatan kepada pihak lain yang terlibat dalam kerjasama strategik dan pertahanan.
Khaled turut melahirkan kebimbangan terhadap trend yang semakin ketara dalam hubungan antarabangsa apabila kontrak dan komitmen yang telah dipersetujui boleh diketepikan atas faktor politik atau ideologi.
Beliau menyifatkan tindakan Norway sebagai tidak wajar dan berpotensi menjejaskan kepercayaan dalam hubungan dua hala, khususnya bagi negara-negara kecil dan kuasa pertengahan yang bergantung kepada kestabilan sistem antarabangsa serta penghormatan terhadap setiap komitmen yang dibuat.
Menurutnya, jika sesebuah negara atau syarikat dibenarkan menarik diri daripada perjanjian tanpa akauntabiliti, ia boleh mewujudkan precedent berbahaya yang menjejaskan kerjasama pertahanan, ekonomi dan strategik pada masa depan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tuntutan pampasan bukan semata-mata untuk mendapatkan semula wang yang telah dibelanjakan, tetapi juga bagi mengiktiraf keseluruhan kesan yang ditanggung Malaysia akibat pembatalan tersebut.
“Sekiranya Norway benar-benar menghormati prinsip tatakelola antarabangsa berasaskan peraturan serta menghargai hubungan yang telah lama terjalin dengan Malaysia, maka negara itu sewajarnya menyokong proses pampasan yang adil dan munasabah,” katanya.










