Naik Taraf Jalan Subang Dijangka Atasi Kesesakan ‘Traffic Light 199’

SHAH ALAM: Masalah kesesakan trafik yang sekian lama membelenggu pengguna di laluan Jalan Subang–Seksyen 13 termasuk kawasan dikenali sebagai ‘Traffic Light 199’, dijangka dapat diatasi menerusi pelaksanaan projek naik taraf jalan yang kini memasuki fasa lebih konkrit.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, beliau menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor berhubung perkembangan terkini projek berkenaan yang kini berada di peringkat penyediaan dokumen tender.

Menurutnya, laluan tersebut merupakan antara kawasan kritikal yang sering mengalami kesesakan, khususnya bagi pengguna dari arah Lebuhraya Guthrie dan Subang menuju ke Lebuhraya Persekutuan.

“Di kawasan ini terdapat tiga persimpangan lampu isyarat utama iaitu Monfort, Kerjaya dan Persiaran Sukan yang sering menyebabkan kesesakan teruk.

“Saya sudah membawa isu ini sejak dua hingga tiga tahun lalu dan Alhamdulillah kali ini kita sudah ada perancangan yang lebih konkrit,” katanya.

Azli berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Catur Berpasukan Peringkat Kebangsaan 3rd National Open Team Chess Championship 2026 – PMX Trophy di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Presiden Malaysian Chess Federation, Encik Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

Beliau berkata, reka bentuk projek tersebut telah siap sepenuhnya dan kini sedang melalui proses penyediaan dokumen tender selepas pelantikan jurutera perunding.

“Sekarang ini perunding telah dilantik untuk menyediakan dokumen tender sebelum projek boleh memasuki fasa fizikal,” katanya.

Tambah beliau, selepas proses tender selesai, projek berkenaan akan dibuka kepada pembida untuk pelaksanaan kerja pembinaan.

Mengulas jangkaan pelaksanaan, beliau berharap kerja fizikal projek itu dapat dimulakan seawal tahun 2027.

“Kalau boleh kita mahu pembinaan bermula tahun depan, kalau tidak pun selewat-lewatnya 2028,” katanya.

Menurut beliau, cadangan naik taraf itu melibatkan pembinaan beberapa jejambat (flyover) di persimpangan utama bagi melancarkan aliran trafik tanpa keperluan lampu isyarat.

“Cadangannya ialah membina flyover di persimpangan Monfort, persimpangan Kerjaya menuju Persiaran Sukan dan satu lagi di hadapan kawasan kilang gula.

“Apabila semua ini siap, laluan yang sebelum ini bergantung kepada lampu isyarat akan menjadi lebih lancar atau free flow,” jelasnya.

Beliau berkata, usaha menaik taraf laluan itu telah dibawa sejak tahun 2023 melalui beberapa siri pertemuan bersama JKR Selangor serta libat urus bersama pihak berkaitan.

“Saya telah membawa isu ini ke Parlimen dan beberapa sesi kamar khas, selain perbincangan bersama JKR dan Exco Infrastruktur negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kesesakan di kawasan berkenaan merupakan antara aduan paling kerap diterima daripada penduduk setempat.

“Saya faham ini antara keluhan utama rakyat dan keadaan trafik di kawasan ini semakin teruk.

“Saya harap dengan adanya perancangan ini, ia dapat memberikan kelegaan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles