JOHOR BAHRU, — Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim ke-15 dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perkara itu diumumkan oleh Onn Hafiz Ghazi dalam sidang media khas yang diadakan di kediaman rasminya hari ini, yang turut dihadiri barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.
Menurut beliau, keputusan pembubaran dibuat selepas beliau menghadap Pemangku Sultan Johor pada 1 Jun bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Negeri.
“Sehubungan itu, atas titah perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Watikah Pembubaran Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim yang ke-15 telah diperkenankan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 iaitu pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata pembubaran tersebut dibuat selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi memberi laluan kepada proses demokrasi menerusi PRN Johor yang akan ditentukan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri Johor, tertakluk kepada penetapan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
“Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh,” katanya.
Onn Hafiz turut menyeru semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses pilihan raya dengan penuh adab, tertib dan semangat demokrasi yang sihat.
“Sama-samalah kita menjaga keharmonian dan kemufakatan Bangsa Johor,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Johor terus dipelihara daripada sebarang perpecahan serta dikurniakan kestabilan, kemakmuran dan keberkatan yang berterusan.
Dengan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa hari ini, perhatian kini tertumpu kepada pengumuman rasmi SPR mengenai tarikh penting PRN Johor, termasuk penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.










