Terpulang Jika PAS Pilih Haluan Sendiri, Yakin Ramai Akan Terus Bersama Bersatu

KUALA LUMPUR: Bersatu tidak berhasrat menghalang PAS sekiranya parti itu memutuskan untuk bergerak secara berasingan dalam pilihan raya, meskipun keputusan tersebut dilihat mampu mengubah landskap kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setiap parti mempunyai hak menentukan strategi politik masing-masing dan Bersatu menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh PAS demi perjuangan yang mereka percaya dapat memberi manfaat kepada orang Melayu.

Menurut beliau, walaupun tanpa PAS, Bersatu yakin masih mempunyai sokongan daripada pelbagai pihak lain yang berkongsi matlamat dan perjuangan yang sama.

“Jika itu pendirian PAS dan mereka percaya langkah tersebut mampu menguntungkan perjuangan serta memperkukuhkan perpaduan orang Melayu, kami tidak boleh menghalangnya. Namun saya percaya masih ramai yang akan bersama Bersatu,” katanya.

Beliau mengulas cadangan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang sebelum ini menyarankan agar PAS dan Bersatu bertanding secara berasingan dalam pilihan raya susulan polemik berhubung kekuatan jentera kedua-dua parti dalam PN.

Fadhli dilaporkan berkata hubungan antara PAS dan Bersatu boleh diteruskan sebagai rakan politik, namun tidak semestinya diterjemahkan melalui kerjasama pilihan raya. Beliau turut membayangkan sukar untuk mewujudkan hubungan yang harmoni sekiranya kenyataan mengenai kelemahan jentera Bersatu terus dianggap sebagai pandangan yang tidak wajar.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam satu ceramah di Melaka baru-baru ini yang menggesa pihak tertentu supaya lebih terbuka melihat kemampuan dan kekuatan parti itu.

Menurut Fadhli, kelemahan sesebuah parti dari segi jentera bukan sesuatu yang luar biasa, terutama bagi parti yang masih muda. Namun, katanya, isu timbul apabila kelemahan tersebut tidak diakui secara terbuka.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menjelaskan bahawa kenyataan Azmin tidak ditujukan kepada PAS.

Sebaliknya, ia ditujukan kepada pihak tertentu yang didakwa gagal memahami penjelasan pimpinan parti serta membuat tafsiran yang tidak tepat terhadap keputusan Majlis Tertinggi PN.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Bersatu sering menuntut lebih banyak kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri, namun tidak mempunyai kekuatan jentera yang mencukupi bagi menggerakkan kempen.

Mengulas perkara itu, Ahmad Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja berpandangan bahawa mana-mana parti yang bercita-cita untuk mentadbir negara tidak boleh bergerak secara bersendirian. Sebaliknya, kerjasama dengan parti politik lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai aspirasi sama adalah penting bagi membentuk kekuatan politik yang lebih kukuh.

Beliau turut mengingatkan bahawa PN pernah memperoleh sokongan besar dalam kalangan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga berjaya meraih jumlah kerusi yang signifikan.

“PN telah diterima baik oleh ramai orang Melayu dan pernah menjadi harapan besar mereka. Namun jika PAS memilih untuk bergerak sendiri, Bersatu akan menghormati dan menerima keputusan tersebut,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles