Syarat Baharu Ar Rahnu YAPEIM Tular, Netizen Desak PMX Campur Tangan

KUALA LUMPUR: Langkah Pengurusan Koperasi YAPEIM Berhad memperkenalkan pindaan baharu bagi urusan gadaian Islam (Ar Rahnu) berkuat kuasa 1 Julai 2026 menerima reaksi pelbagai, dengan rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut dan bimbang terhadap implikasi kewangan yang bakal dihadapi.

​Menerusi satu notis pemberitahuan rasmi yang tular di platform media sosial Threads, agensi terbabit mengumumkan beberapa pelaksanaan pindaan drastik yang dikaitkan dengan situasi ekonomi semasa negara.

​Pindaan paling utama yang mencetuskan keresahan ramai adalah penamatan kemudahan transaksi gadaian semula atau lebih dikenali sebagai urusan overlap.

Melalui ketetapan baharu ini, pelanggan tidak lagi dibenarkan membuat urusan pertukaran surat tanpa tebus tunai, sebaliknya diwajibkan untuk membuat penebusan penuh bagi semua sampul gadaian yang masih aktif dalam tempoh yang ditetapkan.

Pindaan ini dilaporkan melibatkan kedua-dua sampul gadaian sedia ada mahupun yang baharu.

​Selain itu, agensi berkenaan turut menetapkan bahawa bayaran upah simpan bagi tempoh enam bulan pertama atau sehingga tarikh matang wajib dijelaskan terlebih dahulu bagi melayakkan pelanggan mendapat lanjutan tempoh gadaian selama empat bulan lagi.

Peraturan upah simpan ini akan melibatkan semua jenis sampul gadaian baharu bermula tarikh penguatkuasaan tersebut.

​Pihak pengurusan juga menegaskan bahawa tindakan tegas berupa jualan atau lelongan awam akan dilaksanakan sekiranya pelanggan gagal membuat penebusan atau gagal menjelaskan bayaran upah simpan bagi tempoh enam bulan pertama yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, segala pindaan baharu ini dimaklumkan tidak terpakai ke atas pelanggan yang berdaftar di bawah peserta eKasih.

​Sementara itu, tinjauan di ruangan komen luahan pengguna media sosial mendapati majoriti pengadai menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Seorang pengguna Threads menggunakan akaun @finasabri_fs mendakwa, peraturan baharu tersebut seolah-olah menganiaya pelanggan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai nilai gadaian yang besar.

​Menurut pengguna berkenaan, sekiranya nilai gadaian hanya mencecah RM1,000 ke RM2,000, urusan tebusan mungkin tidak menjadi masalah, namun bagi pengadai yang mempunyai komitmen sehingga RM30,000, adalah sangat sukar untuk mencari modal tunai dalam tempoh yang singkat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada arahan ini datang daripada pihak pengurusan tertinggi dan menggesa agar isu ini mendapat perhatian pihak kerajaan.

​Isu ini turut mendapat ulasan daripada netizen lain yang cuba menganalisis punca tindakan tersebut diambil.

Pengguna akaun @sbdy.blky berpendapat, situasi ini berkemungkinan berpunca daripada lonjakan mendadak trend pelaburan dan gadaian emas bertindih beberapa bulan lalu ekoran kenaikan harga emas global, yang akhirnya memberi kesan kepada kecairan aliran tunai institusi.

Beliau menambah, terdapat cawangan yang sebelum ini memerlukan pelanggan membuat janji temu atau menghubungi mereka terlebih dahulu untuk memastikan ketersediaan dana tunai sebelum urusan gadaian dilakukan.

​Dalam pada itu, segelintir netizen mula menyarankan alternatif lain termasuk memindahkan urusan gadaian ke institusi perbankan komersial atau agensi koperasi lain yang menawarkan syarat penggadaian yang dianggap lebih fleksibel dan mesra pelanggan bagi mengelakkan kerugian di pihak pengguna.

​Walau bagaimanapun, keputusan YAPEIM mengecualikan golongan kurang berkemampuan yang tersenarai di bawah pangkalan data eKasih menerima pujian ringkas daripada orang ramai.

Namun begitu, rata-rata pengguna tetap berharap agar pihak pengurusan tertinggi dapat meneliti semula pelaksanaan tersebut secara holistik agar tidak memberi tekanan tambahan kepada rakyat marhaen yang menggunakan kemudahan Ar Rahnu sebagai talian hayat kewangan jangka pendek.
​

BBerkaitan

Latest articles