Tolak Politik Kebencian, Anwar Ajak Rakyat Pertahan Perpaduan Negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia menolak budaya politik berasaskan kebencian dan perpecahan demi memastikan negara terus aman, stabil serta dihormati di peringkat antarabangsa.

Beliau menegaskan, suara majoriti rakyat yang mendambakan keamanan perlu tampil mempertahankan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan keharmonian antara kaum serta agama.

Menurut beliau, Malaysia dibina atas asas masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan, justeru semangat saling menghormati perlu terus diperkukuh selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Sudah tiba masanya rakyat menentukan hala tuju negara ini dengan semangat kasih sayang, nilai kemanusiaan dan rasa hormat sesama insan, bukannya melalui politik kebencian,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wesak dan Program Harmoni Madani anjuran Majlis Perundingan Buddhis Malaysia (MBCC), hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Presiden MBCC, Datuk K. Sri Dhammaratana.

Anwar berkata, konsep Madani tidak hanya memberi fokus kepada kemajuan ekonomi, teknologi, digital dan kecerdasan buatan, malah turut menitikberatkan aspek nilai, moral serta etika yang berpandukan ajaran agama.

Katanya, pembangunan negara perlu diseimbangkan dengan nilai belas ihsan, hormat-menghormati dan sifat kemanusiaan supaya masyarakat tidak terjerumus dalam budaya permusuhan.

Beliau turut mengingatkan bahawa semua agama mengajar nilai kedamaian dan kasih sayang, bukannya kebencian.

“Dalam Islam ada konsep rahmah dan kasih sayang, manakala ajaran Buddha pula menekankan metta serta karuna. Namun hari ini, unsur kebencian dan permusuhan lebih banyak diketengahkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui masih terdapat segelintir pihak yang memainkan sentimen kaum dan agama sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

Menurutnya, kelompok ekstrem yang kecil tidak sepatutnya dibiarkan mengatasi suara majoriti rakyat Malaysia yang mahukan keamanan dan kestabilan negara.

“Saya percaya rakyat daripada pelbagai latar belakang termasuk Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan mahu melihat Malaysia terus aman dan berjaya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus memperkukuh ekonomi negara, menarik pelaburan asing, meningkatkan mutu pendidikan serta menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha mencari pendekatan terbaik membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa termasuk kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.

“Tidak bolehkah kita membantu semua rakyat yang memerlukan sebagai satu keluarga besar Malaysia tanpa membezakan kaum?” soalnya.

Anwar turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyokong sambutan Hari Wesak serta pelbagai program keharmonian antara agama bagi memperkukuh perpaduan nasional.

“Saya yakin Malaysia akan terus maju sekiranya rakyat memilih jalan damai, saling menghormati dan kasih sayang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles