KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan PKR serta melepaskan kerusi Parlimen masing-masing tidak menggugat kekuatan parti itu.
Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim menegaskan, situasi berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa kerana parti itu sudah melalui pelbagai cabaran politik sejak ditubuhkan.
Menurut beliau, PKR kekal stabil malah terus mencatat pertambahan keahlian walaupun ada pemimpin memilih haluan berbeza.
“PKR tidak goyah. Kita terus kekal kukuh dan ini adalah sebahagian daripada proses demokrasi dalam parti.
“Sepanjang perjalanan PKR, ramai pimpinan pernah keluar dengan alasan dan pendirian masing-masing, namun akhirnya rakyat yang akan membuat penilaian,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tanggapan kononnya PKR semakin lemah susulan tindakan beberapa pemimpin meninggalkan parti kebelakangan ini.
Pada 18 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa sebelum mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
Mengulas lanjut, Kamil turut mengingatkan bahawa PKR pernah berdepan krisis lebih besar ketika berlakunya ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 yang menyaksikan ramai pihak menjangkakan parti itu akan lumpuh.
Namun katanya, tanggapan tersebut ternyata meleset apabila PKR akhirnya kembali bangkit dan berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa tindakan beberapa pimpinan kanan meninggalkan parti memberi kesan besar terhadap sayap Pemuda PKR atau keseluruhan parti.
“Tidak ada kesan signifikan. Pemuda PKR tetap utuh dan kita melihat sokongan serta penyertaan ahli baharu terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya lagi.










