Pengasas PKR dakwa Rafizi bawa budaya fitnah dalam parti

KUALA LUMPUR: Salah seorang pengasas Parti Keadilan Rakyat, Ng Lum Yong mendakwa Rafizi Ramli membawa budaya fitnah dan adu domba ke dalam parti sehingga menimbulkan masalah kepada pimpinan atasan.

Menurutnya, memang tidak dinafikan Rafizi dan sekutunya banyak menyerang pihak lawan menerusi fitnah serta adu domba yang disifatkan berkesan, namun pendekatan sama turut dibawa ke dalam PKR.

“Memang tidak dinafikan Rafizi dan sekutunya banyak menyerang pihak lawan menerusi fitnah serta adu domba yang berkesan namun sikap sama turut dibawa ke dalam parti sehingga kadang-kala menimbulkan masalah kepada pimpinan atasan,” katanya.

Beliau berkata, ramai dalam parti sebelum ini terpaksa ‘menghadap’ Rafizi dan sekutunya yang didakwa sering menganggap pandangan mereka sahaja paling tepat.

Katanya, budaya sedemikian menyebabkan berlaku ketegangan dalaman sekali gus menjejaskan usaha memperkukuh parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam pada itu, Ng berpandangan ketiadaan Rafizi mampu memperkuatkan semula PKR kerana parti tersebut tidak lagi perlu berdepan kelompok yang menganggap hanya mereka sentiasa betul.

“PKR sejak awal dibina atas semangat reformasi dan perjuangan berbilang kaum, bukannya bergantung kepada personaliti mana-mana individu,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Mashitah Mohd Udin menyifatkan manifesto Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dibentangkan Rafizi sebagai ibarat ‘angan-angan Mat Jenin’ kerana terlalu idealistik dan sukar dilaksanakan dalam realiti pentadbiran negara.

Menurut beliau, 12 agenda yang diketengahkan bekas Menteri Ekonomi itu sememangnya kedengaran menarik namun kebanyakannya lebih bersifat populis berbanding pelan dasar yang benar-benar praktikal.

Sementara itu, penganalisis politik Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata, agenda 12 perkara Bersama dijangka meningkatkan penelitian terhadap Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, situasi itu sekali gus mendorong pengundi menilai semula rekod serta prestasi kedua-dua pemimpin berkenaan ketika berada dalam kerajaan dari tahun 2022 hingga 2025.

BBerkaitan

Latest articles