SPRM Rayu Keputusan Mahkamah Tolak Pembekuan RM548 Juta

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah larangan akses melibatkan dana pelaburan bernilai RM548 juta di Singapura, yang didakwa berkait dengan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, iaitu Toh Puan Naimah Khalid serta lapan pihak lain.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, SPRM memaklumkan notis rayuan akan dikemukakan dalam masa terdekat dan perkara itu turut dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan bagi mendapatkan perintah larangan terhadap wang pelaburan yang didakwa dimiliki Naimah, anaknya serta beberapa individu dan syarikat lain yang disimpan dalam beberapa akaun bank di Singapura.

Hakim Arief Emran Arifin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Pada 19 Jun tahun lalu, SPRM dilaporkan memfailkan permohonan secara ex-parte untuk menghalang Naimah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin, dua individu lain serta lima syarikat daripada mengurus atau memindahkan aset yang berada di luar negara.

Aset berkenaan melibatkan wang pelaburan bernilai GBP21 juta, bersamaan kira-kira RM121 juta, dan USD99 juta atau sekitar RM423 juta yang ditempatkan di Singapura.

Permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA susulan siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan serta Seksyen 4(1) akta berkaitan pengubahan wang haram.

BBerkaitan

Latest articles