Bekalan Tenaga Negara Masih Stabil, Anwar Beri Jaminan Kerajaan Kawal Krisis Global

KUALA LUMPUR: Bekalan tenaga negara masih berada pada tahap mencukupi meskipun dunia ketika ini berdepan krisis bekalan global yang menjejaskan ekonomi serta meningkatkan kos tenaga, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keterjaminan bekalan terus stabil untuk kegunaan rakyat dan industri tempatan.

“Insya-Allah cukup,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin ketika diminta mengulas usaha kerajaan menangani isu bekalan tenaga negara yang dikhuatiri hanya mampu bertahan sehingga Julai ini.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan memaklumkan kerajaan sedang memperhebat usaha memastikan bekalan tenaga negara kekal terjamin sehingga penghujung tahun ini susulan tekanan daripada krisis tenaga global.

Beliau berkata, setakat ini bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai, namun pelbagai inisiatif tambahan sedang dilaksanakan termasuk mendapatkan sumber bekalan baharu dari luar negara bagi mengelakkan gangguan bekalan.

Menurutnya lagi, krisis tenaga dunia ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada sektor tenaga, malah turut menjejaskan rantaian ekonomi global terutama logistik apabila kos operasi meningkat dan akhirnya memberi impak kepada harga barangan serta kestabilan bekalan.

Pada 15 April lalu, Petronas mengesahkan bekalan bahan api di semua stesennya di seluruh negara kekal mencukupi sehingga akhir Jun, lebih lama berbanding unjuran awal yang hanya dijangka bertahan sehingga penghujung Mei.

Melalui anak syarikatnya, Petronas Dagangan Bhd, syarikat itu membekalkan kira-kira separuh daripada keperluan bahan api negara manakala baki selebihnya disediakan oleh syarikat petroleum lain.

BBerkaitan

Latest articles