Pemungut Hutang Rayu Hukuman Berat Kesalahan Kurung, Amang Seksual Remaja 14 Tahun

SHAH ALAM: Seorang pemungut hutang dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mengurung serta mencederakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning minggu lalu.

Tertuduh, Fadwan Abd Muaain, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Malan lelaki itu juga mencuri perhatian pihak di dalam mahkamah apabila merayu dikenakan hukuman berat atas kesalahan yang dilakukannya.

Berdasarkan pertuduhan, Fadwan didakwa mengurung mangsa dengan cara mengikat tangan dan kaki remaja itu di sebuah pangsapuri di Seksyen 32, Shah Alam antara jam 8.05 pagi hingga 11.50 pagi pada 11 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bagi kesalahan mengurung mangsa manakala enam bulan lagi bagi kesalahan mencederakan remaja terbabit.

Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari manakala tertuduh diwakili peguam, Adli Hakim Azami daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Fadwan sekali lagi mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pembentangan fakta dan jatuh hukum.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, KS Rinisha Priyya sementara tertuduh tidak diwakili peguam bagi pertuduhan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles