KUALA LUMPUR: Situasi membimbangkan tercetus di perairan menuju Gaza apabila sebanyak 40 kapal yang membawa ratusan aktivis kemanusiaan, termasuk 25 rakyat Malaysia, dipercayai dipintas serta diceroboh tentera rejim Israel petang tadi.
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan hampir 350 aktivis yang menyertai misi Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) dipercayai dipaksa keluar dari kapal masing-masing sebelum dipindahkan ke empat kapal tentera Israel.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya menerima bukti visual yang menunjukkan semua aktivis terbabit dibawa keluar secara paksa ketika misi kemanusiaan itu sedang menuju ke Gaza.
“Setakat ini kami masih belum menerima pengesahan rasmi mengenai status sebenar semua aktivis yang ditahan termasuk lokasi dan destinasi mereka selepas dipindahkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut beliau, antara rakyat Malaysia yang berada dalam armada terbabit ialah Razman Mat Ali di kapal Azur, Nor Liyana Farhan Daud (Amazon), Al Ahmad Shah Abdul Kadir (Iridescence) serta Abdul Rahim Abdul Razak dan Eddy Noor Mad Amin yang berada di kapal Marilyn.
Turut disenaraikan ialah Mohd Hanafi Mohd Salim dan Mohd Redzal Amzah di kapal Bolarize, selain Jihan Alya Mohd Nordin bersama Norhelmi Ab Ghani di kapal Ozgurluk.
Dalam perkembangan sama, SNCC memaklumkan masih terdapat 10 kapal GSF 2.0 yang meneruskan pelayaran dan kini berada di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza.
Empat lagi rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam kumpulan tersebut iaitu Hareez dan Chin di kapal Alcyone serta Syed Amirul atau Don Juan bersama Noor Thanisah di kapal Zefiro.
Sani Araby menegaskan tindakan Israel memintas kapal misi kemanusiaan itu disifatkan sebagai perbuatan lanun dan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Beliau turut menuntut supaya semua aktivis diberikan perlindungan sewajarnya serta tidak dikenakan sebarang penderaan, penganiayaan atau layanan tidak berperikemanusiaan hanya kerana membawa bantuan dan suara solidariti kepada rakyat Palestin.
SNCC turut mengesahkan sebanyak 15 kapal yang membawa 25 rakyat Malaysia terlibat dalam insiden berkenaan.










