Program LCS Capai 77.46 Peratus, Lima Kapal Kekal Ikut Jadual Penyerahan

KUALA LUMPUR – Program Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat kemajuan fizikal keseluruhan sebanyak 77.46 peratus setakat April 2026, sekali gus menunjukkan perkembangan berterusan dalam pembinaan lima kapal utama armada pertahanan laut negara. 

Menurut kenyataan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), kemajuan tersebut melibatkan pelaksanaan serentak pembinaan, integrasi sistem dan ujian teknikal bagi setiap kapal yang kini berada pada tahap pembangunan berbeza. 

Berdasarkan pecahan kemajuan semasa, LCS1 merekodkan pencapaian tertinggi iaitu 84.30 peratus, diikuti LCS2 sebanyak 79.48 peratus, LCS3 (71.22 peratus), LCS4 (60.52 peratus) dan LCS5 (49.71 peratus). 

LUNAS memaklumkan, LCS1 kini telah memasuki fasa ujian laut (sea trials), yang merupakan antara proses paling kritikal sebelum kapal berkenaan menjalani Sea Acceptance Trials bersama TLDM.

Fasa tersebut melibatkan pengujian menyeluruh ke atas prestasi pelayaran, sistem persenjataan, radar, komunikasi serta keupayaan operasi kapal sebelum diterima secara rasmi oleh TLDM. Pencapaian itu turut dianggap sebagai petunjuk penting bahawa kapal pertama program LCS semakin hampir memasuki fasa kesiapsiagaan operasi penuh. 

Bagi LCS2 pula, kapal itu dijadual menjalani aktiviti pelayaran pertama (first sea going) pada suku keempat tahun ini, yang menjadi langkah penting dalam proses integrasi sistem dan pengesahan keupayaan asas pelayaran kapal. 

LCS3 kini berada dalam fasa pembinaan berintensiti tinggi susulan Majlis Penamaan dan Pelancaran kapal yang diadakan pada Februari lalu. Fasa ini melibatkan kerja-kerja pemasangan struktur utama kapal, integrasi sistem dalaman serta penyelarasan peralatan tempur dan elektronik. 

Sementara itu, LCS4 dijadual menjalani proses penurunan ke air pertama (first downslip) pada penghujung tahun ini, menandakan kapal berkenaan telah mencapai tahap penting dalam urutan pembinaan sebelum memasuki fasa integrasi dan ujian seterusnya. 

Bagi LCS5, LUNAS memaklumkan kapal itu menunjukkan kemajuan pembinaan yang stabil apabila empat blok utama kapal telah siap dibina, manakala kesemua empat Main Diesel Generator berjaya dipasang di atas kapal. 

Selain itu, sistem Combat Management System (CMS) bagi kapal tersebut juga dilaporkan berjaya menamatkan Factory Acceptance Test (FAT), yang merupakan proses penting bagi memastikan sistem tempur dan pengurusan operasi kapal memenuhi spesifikasi teknikal ditetapkan sebelum dipasang sepenuhnya di atas kapal. 

Menurut kenyataan itu lagi, jadual penyerahan kapal-kapal LCS kekal seperti diumumkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Parlimen pada 28 Januari lalu. 

Mengikut jadual semasa, LCS1 dijangka diserahkan kepada TLDM pada Disember 2026, diikuti LCS2 pada Ogos 2027, LCS3 pada Disember 2027, LCS4 pada Ogos 2028 dan LCS5 pada April 2029. 

LUNAS berkata syarikat itu kekal komited memastikan setiap kapal diserahkan mengikut tempoh dipersetujui bagi memperkukuh keupayaan armada TLDM secara berperingkat sejajar dengan keutamaan pertahanan negara. 

BBerkaitan

Latest articles