KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengambil pendirian tegas dengan mengemukakan bantahan keras terhadap tindakan rejim Zionis yang menahan 16 rakyat Malaysia bersama lebih 100 aktivis antarabangsa dalam misi kemanusiaan menuju ke Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berdiam diri terhadap tindakan memintas kapal bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus itu.
“Kita dah bantah keras,” katanya ringkas selepas menghadiri Anugerah Sukan Negara 2025 di Kuala Lumpur hari ini.
Kesemua aktivis terbabit menyertai misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang digerakkan bagi membawa bantuan kemanusiaan dan solidariti kepada penduduk Gaza.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara Malaysia, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, 16 rakyat Malaysia itu berada di atas sembilan kapal daripada keseluruhan 15 kapal yang didakwa dipintas serta diceroboh rejim Zionis.
Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah Zainal Rashid Ahmad di atas kapal Amanda; Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella); Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus); selain S Patmanathan, Syakirin Muhamed Senin serta Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar di atas kapal Ferluto.
Turut ditahan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang berada di atas kapal Josef.
Semalam, Anwar turut mengecam keras tindakan rejim Zionis memintas flotila bantuan kemanusiaan itu yang disifatkan sebagai pencabulan terang-terangan terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
Beliau menegaskan tindakan agresif terhadap misi aman berkenaan sekali lagi memperlihatkan sikap angkuh dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap usaha bantuan kemanusiaan global.










