Cemburu Cinta Tak Berbalas Punca Wanita Ditikam Dalam Kereta

ALOR SETAR: Perasaan cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak ganas dengan menikam leher rakan wanitanya yang juga ibu tunggal dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam itu, mangsa berusia 35 tahun mengalami kecederaan serius selepas diserang menggunakan senjata tajam ketika berada di dalam sebuah kereta Mazda 3.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata pihak polis berjaya menahan suspek kira-kira jam 1.50 pagi tadi selepas lelaki terbabit dikesan bersembunyi di sebuah masjid di Taman Uda, kira-kira 6.2 kilometer dari lokasi kejadian.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes mencederakan bekas teman wanita pada tahun 2017 mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif sebenar kejadian, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada rasa cemburu dan cinta tidak berbalas.

Difahamkan, suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain sejak setahun lalu kerana kedua-duanya bekerja sebagai ejen hartanah, namun di syarikat berbeza.

Mangsa yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Siasatan turut mendapati mangsa sempat membunyikan hon kereta untuk mendapatkan perhatian orang ramai beberapa minit selepas kenderaan itu tiba di lokasi kejadian sebelum suspek melarikan diri.

Polis percaya suspek berjalan kaki meredah kawasan sawah padi untuk bersembunyi di masjid berkenaan.

Senjata yang digunakan masih belum ditemui dan dipercayai sama ada pisau jenis ‘rambo’ atau pemutar skru.

Mangsa dilaporkan menerima bantuan kecemasan awal daripada seorang doktor di klinik berhampiran sebelum dihantar ke hospital selepas mengalami kecederaan pada bahagian leher dari kiri ke kanan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

BBerkaitan

Latest articles