SHAH ALAM: Kira-kira 5,000 peserta berhimpun dalam Himpunan Daulat Tuanku yang berlangsung di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini bagi menyatakan sokongan terhadap institusi diraja dan mempertahankan kedaulatan negeri.
Sejak jam 4 petang, peserta yang majoritinya mengenakan pakaian berwarna kuning mula memenuhi kawasan sekitar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum berarak secara aman menuju ke bangunan SUK.
Perhimpunan anjuran Pemuda PAS Selangor itu turut disertai beberapa pemimpin politik termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri; Ketua UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Ketua Pemuda UMNO Selangor, Mohd Imran Tamrin serta wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar sebelum ini menjelaskan himpunan tersebut diadakan sebagai tanda kesetiaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain mempertahankan institusi raja, agama Islam dan kepentingan Melayu di negeri berkenaan.
Himpunan itu tercetus susulan kontroversi melibatkan cadangan penternakan babi moden yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki ketika persidangan DUN Selangor baru-baru ini.
Turut hadir, bekas Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menggesa agar ADUN DAP terbabit dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN kerana didakwa menyentuh titah Sultan Selangor.
Dalam pada itu, Pemuda PAS Selangor menegaskan himpunan berkenaan bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara mana-mana pihak, sebaliknya bagi menekankan kepentingan adab serta penghormatan terhadap institusi diraja.










