KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Abd Halim Aman diingatkan supaya tidak sekadar tampil dengan retorik antirasuah, sebaliknya berani melaksanakan tindakan tegas termasuk melakukan ‘pembersihan dalaman’ dalam agensi itu sendiri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membuat gesaan berkenaan susulan kenyataan Abd Halim yang berjanji memastikan SPRM bertindak lebih tegas, adil dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
Sehubungan itu pemimpin UMNO itu mendesak agar kepimpinan baharu SPRM membuktikan ketegasan itu melalui tindakan nyata, bukannya sekadar slogan pentadbiran.
Dalam masa yang sama, Mohd Puad mengingatkan Abd Halim untuk berani menolak sebarang campur tangan politik termasuk arahan berbentuk siasatan terpilih atau siasatan bermotif dendam.
“Jangan takut kepada Perdana Menteri. Dakwa tanpa perlu tunggu ‘blessing’. Kalau rasa tidak mampu, lebih baik berundur awal,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran supaya SPRM tidak terus dibelenggu unsur ‘mafia dalaman’, termasuk kewujudan pihak berkepentingan yang didakwa menjadi ‘musuh dalam selimut’ kepada integriti agensi berkenaan.
Isu kehilangan wang rampasan yang didakwa diganti dengan wang palsu turut dibangkitkan sebagai bukti perlunya siasatan dan reformasi dalaman dilakukan secara serius.
“Siapa sangka dalam SPRM sendiri ada pencuri. Duit rampasan dicuri dan diganti dengan duit palsu,” katanya.
Selain itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM juga diingatkan supaya menjaga integriti peribadi dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi negatif rakyat, termasuk penglibatan dalam pembelian saham ketika masih memegang jawatan.
Selain itu Mohd Puad juga menyentuh mengenai tafsiran rasuah yang didakwa tidak boleh disempitkan mengikut kepentingan tertentu kerana ia hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi penguat kuasa negara.










