Azam Akui Musuh ‘Bertambah’ Demi Tegakkan Integriti SPRM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki mengakui prinsip tegas yang dipegang sepanjang lebih empat dekad dalam dunia penguatkuasaan menyebabkan beliau tidak mempunyai ramai rakan, malah semakin ramai pihak memusuhinya ketika menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azam yang bakal menamatkan kontraknya esok berkata, beliau tidak pernah memilih pendekatan “selamat” sepanjang berkhidmat sejak era Badan Pencegah Rasuah (BPR) sehingga dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 2020.

Menurutnya, menjadi pemimpin yang hanya memilih untuk tidak bertindak bukanlah sesuatu yang diyakininya sepanjang berada dalam agensi antirasuah itu.

“Saya memang tidak ramai kawan sejak berkhidmat dalam BPR dan SPRM. Apabila menjadi Ketua Pesuruhjaya, musuh juga semakin bertambah kerana saya tidak memilih jalan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendekatan tegas yang diambil dalam mengendalikan beberapa siasatan berprofil tinggi termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri.

Antara kes yang mencuri perhatian sepanjang pentadbirannya ialah pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek Jana Wibawa serta sabitan terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International dan 1MDB.

Azam menegaskan prinsipnya mudah iaitu sesiapa yang didapati bersalah perlu didakwa tanpa mengira kedudukan atau pengaruh politik.

Menurut beliau, pendekatan itu bagaimanapun tidak disenangi sesetengah pihak kerana SPRM kini berani menyiasat individu berprofil tinggi termasuk pemimpin negara yang masih aktif dalam politik.

Dalam pada itu, Azam berkata siasatan rasuah tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada aduan awam, sebaliknya memerlukan risikan menyeluruh, rangkaian maklumat dalaman serta kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa.

Katanya, jenayah rasuah jauh lebih kompleks berbanding jenayah biasa kerana kebanyakannya melibatkan kumpulan kecil yang saling melindungi antara satu sama lain sehingga sukar dikesan.

“Kadang-kadang sesuatu kes mengambil masa bertahun-tahun sebelum bukti dapat diperoleh,” katanya.

Azam turut menyeru penglibatan lebih ramai profesional daripada pelbagai bidang seperti perakaunan, kejuruteraan, perubatan dan perundangan bagi memperkukuh keupayaan siasatan serta analisis SPRM.

Dilahirkan di Negeri Sembilan pada 12 Mei 1963, Azam memulakan kerjaya dalam BPR pada 1984 sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya.

Sepanjang memegang jawatan itu, beliau berkhidmat di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azam turut mendedahkan beliau sudah bersedia meninggalkan perkhidmatan awam selepas menerima tiga kali lanjutan kontrak berturut-turut sejak 2023.

Katanya, keputusan melanjutkan kontrak bukan ditentukan olehnya walaupun terdapat pihak tertentu yang cuba menghalangnya.

Bermula Rabu ini, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM akan disandang bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman.

BBerkaitan

Latest articles