Bomba Selamatkan Pelajar Cuba Terjun Dari Asrama

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun berjaya diselamatkan anggota bomba selepas dipercayai cuba terjun dari tingkat satu sebuah bangunan asrama tiga tingkat di Institut Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.37 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan Water Tanker.

Komander Operasi, PBK I Nor Azuwan Zulghoni berkata, pasukan bomba tiba di lokasi sekitar jam 7.45 pagi dan segera melakukan pemeriksaan serta penilaian keadaan sebelum memujuk mangsa agar tidak bertindak di luar kawalan.

“Jangan lompat dik… kami ada untuk bantu,” antara kata-kata anggota penyelamat yang berjaya menenangkan mangsa dalam situasi mencemaskan itu.

Menurutnya, usaha memujuk akhirnya berjaya apabila mangsa dapat diselamatkan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan institusi untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.06 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi terkawal dan selamat.

Difahamkan, mangsa kini menerima rawatan di hospital selain mendapatkan sokongan ubat berkaitan masalah anxiety dan halusinasi.

BBerkaitan

Latest articles