KUALA LUMPUR: MUDA mendakwa DAP bersikap selektif dalam memperjuangkan isu melibatkan integriti dan demokrasi apabila hanya lantang bersuara terhadap perkara yang memberi keuntungan politik kepada parti itu.
Ketua Penerangan MUDA, Rasid Abu Bakar berkata, DAP sebelum ini dilihat membisu dalam beberapa isu besar negara termasuk kontroversi pemilikan saham membabitkan Tan Sri Azam Baki serta kes DNAA Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Menurut beliau, parti itu memilih untuk tidak bersuara atas alasan menjaga kestabilan kerajaan, namun segera tampil sebagai “juara” apabila timbul isu yang mampu meraih sokongan politik.
“Jika benar mahu mempertahankan reformasi dan demokrasi, pendirian itu perlu konsisten dan bukan berubah mengikut keselesaan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan kritikan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming terhadap keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan pindaan mewujudkan lima jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Kor Ming dilaporkan menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak demokratik dan bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, selain mendakwa ia boleh menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara.
Mengulas lanjut, Rasid mendakwa kritikan DAP itu lebih bersifat percaturan persepsi politik berbanding perjuangan prinsip sebenar.
Malah, beliau mendakwa ketika RUU itu dibahaskan di DUN Johor, pimpinan DAP dilihat lebih mesra bersama wakil Barisan Nasional (BN) berbanding memberi tumpuan kepada perbahasan isu tersebut.
Tambah beliau, pembangkang juga hanya diberikan masa singkat untuk membahaskan usul berkenaan, manakala Ketua Pembangkang Johor, Andrew Chen Kah Eng pula didakwa tidak menggunakan sepenuhnya ruang yang diberikan.
“Kini selepas isu selesai, barulah ada pihak tampil sebagai pejuang demokrasi. Rakyat boleh menilai sama ada ia benar-benar soal prinsip atau sekadar strategi politik,” katanya.
Khamis lalu, DUN Johor meluluskan pindaan undang-undang bagi mewujudkan lima jawatan ADUN lantikan selepas memperoleh sokongan majoriti dua pertiga apabila 40 ADUN menyokong dan 16 lagi membantah usul tersebut.










