DNAA Zahid Selari Perlembagaan, Semakan Kehakiman Boleh Cetus Polemik Baharu

KUALA LUMPUR: Keputusan Peguam Negara memberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes dana Yayasan Akalbudi disifatkan selari dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan tidak sepatutnya dipertikaikan melalui semakan kehakiman.

Peguam, Nik Saiful Adli Burhan berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan itu bakal membuka perdebatan besar mengenai had kuasa dan budi bicara Peguam Negara.

Menurut beliau, Peguam Negara mempunyai prerogatif sebagai dominus litis atau pihak yang mengawal prosiding jenayah, terutama apabila keputusan dibuat berdasarkan representasi pembelaan atau penemuan baharu dalam siasatan.

“Jika semakan kehakiman dilakukan semata-mata untuk mencabar kestabilan politik atau semata-mata kerana kes melibatkan Presiden sesebuah parti seperti UMNO, ia boleh dianggap sebagai satu bentuk penyalahgunaan proses mahkamah (abuse of court process),” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Saiful menambah, tindakan mencabar keputusan tersebut tanpa asas perundangan kukuh boleh dianggap sebagai penyalahgunaan proses mahkamah, lebih-lebih lagi jika didorong sentimen politik susulan kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat perlu menghormati kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan kepada Peguam Negara, selain tidak membuat kesimpulan bahawa keputusan DNAA itu membuktikan kesalahan atau pembebasan mutlak terhadap Ahmad Zahid.

Semalam, Mahkamah Rayuan Malaysia membenarkan rayuan Majlis Peguam Malaysia untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan menghentikan prosiding kes Yayasan Akalbudi melibatkan Ahmad Zahid.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memohon prosiding dihentikan.

BBerkaitan

Latest articles