Keluarga Mangsa Tanah Jerlus Jalan Masjid India Tuntut Pampasan RM824,000

KUALA LUMPUR: Keluarga mendiang G Vijaya Lakshmi yang menjadi mangsa tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India mencadangkan kerajaan membayar pampasan sekitar RM824,000 susulan insiden yang meragut nyawanya hampir dua tahun lalu.

Cadangan jumlah itu dibuat dengan merujuk keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lalu yang mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar ganti rugi RM824,180 kepada pasangan suami isteri selepas anak mereka maut akibat dihempap pokok tumbang pada 2023.

Peguam keluarga mangsa, M Partiben berkata pihaknya akan mengadakan rundingan dengan DBKL serta Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berhubung tuntutan pampasan kepada waris.

Menurut beliau, terdapat elemen kecuaian yang boleh dibuktikan dalam tragedi tanah jerlus itu berdasarkan laporan awal yang menyentuh isu utiliti bawah tanah, keadaan geologi dan kerosakan paip pembetung.

Katanya, sama seperti kes pokok tumbang sebelum ini yang dikaitkan dengan kegagalan penyelenggaraan, tragedi tanah jerlus berkenaan juga dipercayai mempunyai unsur kecuaian pihak berkaitan.

Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024, Vijaya Lakshmi dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter yang terbentuk secara tiba-tiba di laluan pejalan kaki di Jalan Masjid India.

Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada paip pembetung pecah akibat hakisan kesan tindak balas kimia serta ketidakstabilan tanah.

Waris mangsa semalam turut menerima sijil kematian rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

Seorang lagi peguam keluarga, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi berkata jumlah pampasan sewajarnya mengambil kira ganti rugi khas, ganti rugi am serta beban kewangan yang ditanggung keluarga mangsa.

Beliau berkata, waris Vijaya Lakshmi juga terpaksa menanggung kos tinggi kerana perlu berulang-alik dari India ke Malaysia selama hampir dua tahun bagi menguruskan proses dokumentasi dan tuntutan berkaitan kes tersebut.

BBerkaitan

Latest articles