Anwar Tepis Gelaran ‘Tauke Judi’, Cabutan Khas Dikurangkan Kepada Lapan Kali Setahun

PENANTI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan melabelnya sebagai “tauke judi” dengan menegaskan kerajaan pimpinannya telah mengambil langkah mengurangkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada 22 kepada hanya lapan kali setahun.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pengurangan itu membuktikan pentadbirannya tidak berdiam diri dalam usaha membendung aktiviti perjudian.

Beliau berkata, jumlah cabutan khas yang ditetapkan kerajaan ketika ini jauh lebih rendah berbanding tempoh 2020 hingga 2022 apabila kekerapan cabutan berkenaan ditingkatkan daripada lapan kepada 22 kali setahun.

“Ketika kamu memerintah dahulu, 22 kali. Ketika saya memerintah, saya turunkan kepada lapan kali. Cukup? Belum cukup. Baik? Belum baik.

“Tetapi sebelum kamu menyerang saya, kamu cermin dahulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Usahawan Bangkit Permatang Pauh di Penanti, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kritikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan membatalkan tindakan kerajaan negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen pengendali pertaruhan nombor ramalan.

Sanusi sebelum ini berkata, keputusan mengenai sama ada aktiviti perjudian boleh diteruskan di Kedah kini bergantung kepada Anwar.

Beliau turut memberi amaran bahawa Perdana Menteri akan berdepan kemarahan rakyat Kedah sekiranya aktiviti perjudian dibenarkan beroperasi semula di negeri itu.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut meluahkan rasa kesal terhadap kehilangan dana berbilion ringgit yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat.

Beliau merujuk antara lain kepada isu membabitkan Lembaga Tabung Haji dan Felda, sambil menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal pengurusan dana awam.

Anwar berkata, tindakan undang-undang terhadap pihak yang dikaitkan dengan kes berkenaan bukan bertujuan mencari populariti, sebaliknya bagi memastikan mereka yang diberi amanah bertanggungjawab terhadap pengurusan wang rakyat.

“Orang marah saya sekarang sebab kata Anwar ini terlalu tegas, tangkap sana, tangkap sini. Bukan saya yang tangkap. Itu bukan kerja saya.

“Tetapi kalau sudah diberi amanah, ada yang ambil RM2,000 saja, sedangkan yang hilang itu berbilion ringgit, saya mahu hentikan perkara itu, ambil semula dan kembalikan kepada rakyat,” katanya.

Anwar menegaskan, usaha membanteras ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa akan terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan setiap ringgit wang awam digunakan untuk manfaat rakyat.

BBerkaitan

Latest articles