KUALA LUMPUR: UMNO Melaka melaungkan kesediaan sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan memperkemas gerak kerja serta memperkasakan perpaduan di semua peringkat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, persediaan menghadapi PRN berkenaan menjadi antara agenda utama yang diberi tumpuan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam tadi.
Menurut beliau, selaku pimpinan parti peringkat negeri, beliau membawa suara, reaksi, teguran serta aspirasi akar umbi dan rakyat Melaka untuk perhatian kepimpinan tertinggi parti.
“Bagi saya, politik bukan sekadar soal menang pilihan raya. Kemenangan mesti membawa manfaat kepada rakyat termasuk peluang ekonomi, menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan kesan pembangunan yang boleh dinikmati.
“UMNO mesti terus menjadi parti yang dekat dengan rakyat, kuat di akar umbi dan teguh membawa suara Melayu serta kepentingan semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ab Rauf menegaskan bahawa parti itu sentiasa mengambil iktibar daripada pengalaman lalu untuk menyatukan saf kepimpinan dan jentera akar umbi.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan momentum kejayaan yang pernah dicapai sebelum ini dapat diteruskan di Melaka.
“Kita belajar daripada pengalaman, kita perkemas gerak kerja, kita satukan saf kepimpinan dan akar umbi untuk memastikan ‘gelombang biru’ pada PRN Johor dan Negeri Sembilan akan turut melanda di negeri Melaka.
“UMNO Melaka sudah bersedia,” katanya.










