Umno, PAS Bakal Duduk Semeja Bincang Kerjasama Hadapi PRU16

ALOR SETAR: Umno Kedah dijangka mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PAS negeri dalam masa terdekat bagi meneroka bentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertemuan berkenaan akan menjadi langkah awal sebelum kedua-dua pihak meneruskan perbincangan yang lebih terperinci mengenai kerjasama antara parti.

Bagaimanapun, beliau berkata, pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu diadakan terlebih dahulu sebelum rundingan lanjut bersama kepimpinan PAS negeri dilakukan.

“Lebih baik kita jumpa Menteri Besar dahulu, kemudian mungkin Pesuruhjaya PAS.

“Kita akan bincangkan mengenai kerjasama. Banyak perkara yang perlu diberi tumpuan dan semuanya akan dilakukan secara berperingkat, tetapi kita mulakan dengan pertemuan dahulu,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Perkembangan itu susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bersetuju supaya kepimpinan parti di peringkat negeri membuka ruang rundingan dengan mana-mana parti politik yang mempunyai kesediaan untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menegaskan sebarang rundingan perlu dilakukan atas asas keikhlasan dan kepercayaan, bukannya melalui pendekatan berbentuk ugutan atau tekanan.

Perbincangan antara Umno dan PAS turut mendapat perhatian selepas kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Kerjasama berkenaan membuahkan hasil apabila BN dan PN memperoleh 25 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri.

Keputusan tersebut turut mencetuskan cadangan supaya model kerjasama berkenaan diperluaskan ke peringkat nasional bagi menghadapi PRU16.

BBerkaitan

Latest articles