KUALA LUMPUR: NexG Berhad hari ini tampil memperjelas beberapa isu yang dibangkitkan dalam laporan media baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa setiap urusan korporatnya dilaksanakan mengikut garis panduan kawal selia yang ketat serta telus.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat tersenarai di Bursa Malaysia itu menjelaskan bahawa pandangan yang dikemukakan oleh beberapa ahli akademik berhubung operasi, tadbir urus dan kontrak kerajaan adalah tidak tepat serta berpunca daripada pemahaman yang tidak menyeluruh terhadap struktur operasi syarikat awam.
Menurut NexG, semua keputusan penting termasuk pemerolehan dan strategi perniagaan dibuat dengan mematuhi keperluan pendedahan, tertakluk kepada semakan pihak berkuasa, selain mendapatkan kelulusan pemegang saham apabila diperlukan.
Justeru, dakwaan kononnya terdapat proses yang dipintas disifatkan tidak berasas.
Mengulas cadangan agar audit forensik dilaksanakan serta kontrak kerajaan digantung, NexG menegaskan langkah sedemikian hanya wajar dibuat berasaskan bukti kukuh, bukannya spekulasi.
Syarikat itu turut mengingatkan bahawa cadangan tanpa asas boleh menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan keyakinan terhadap projek infrastruktur negara.
Dalam pada itu, NexG menjelaskan bahawa kerugian nilai saksama yang dilaporkan sebelum ini hanyalah pelarasan perakaunan bukan tunai mengikut piawaian pelaporan kewangan, dan tidak melibatkan sebarang kehilangan atau penyelewengan dana.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ishak Ismail, berkata syarikat kini beroperasi di bawah barisan lembaga baharu dengan mandat memperkukuh integriti, ketelusan serta disiplin operasi.
Katanya, isu-isu terdahulu telah ditangani dan fokus kini terarah kepada pembangunan masa depan yang lebih mampan.
NexG pada masa sama menegaskan komitmen berterusan untuk mengamalkan tadbir urus korporat yang kukuh, mematuhi semua keperluan peraturan, serta menyokong pembangunan infrastruktur keselamatan negara.
Syarikat itu turut menggesa orang ramai dan pihak berkepentingan merujuk kepada fakta sahih serta pendedahan rasmi sebelum membuat sebarang kesimpulan.










