Pukul Isteri Hingga Gugur, Lelaki Tunjuk Lokasi Tanam Janin

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang sebelum ini ditahan kerana disyaki memukul isterinya hingga keguguran kini berdepan satu lagi siasatan selepas dipercayai menanam janin di sebuah tanah perkuburan, awal April lalu.

Suspek berusia 43 tahun itu mengaku perbuatannya dan menunjukkan lokasi penanaman kepada polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil penggalian oleh pasukan forensik menemukan janin tidak sempurna dalam keadaan tisu kering.

Sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut dan kes boleh disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan jika disahkan sebagai janin manusia.

Terdahulu, mangsa berusia 39 tahun dilaporkan keguguran kandungan 12 minggu selepas dipukul dalam kejadian di Sungai Petani, menyebabkan kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk dan tulang belakang.

Wanita itu kini masih dirawat di hospital, manakala polis meminta mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa suspek tampil membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles