KUALA LUMPUR: UMNO masih kekal relevan meskipun menjangkau usia 80 tahun, namun ia perlu lebih responsif dan pantas menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik serta tuntutan rakyat.
Demikian tegas Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan berkata, era dominasi parti telah berubah, justeru pendekatan baharu yang lebih segar dan matang perlu digerakkan, khususnya dalam menangani kritikan serta pandangan masyarakat.
Menurut beliau, setiap teguran wajar dinilai secara terbuka dan diterjemahkan kepada penambahbaikan nyata bagi memastikan UMNO terus relevan dalam politik semasa.
“Sebagai pemimpin, kita perlu sentiasa membuat penambahbaikan. Sekiranya UMNO tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut, boleh menyebabkan parti berdepan cabaran lebih besar pada masa hadapan,” demikian memetik wawancaranya di program Ruang Bicara terbitan Bernama TV disiarkan malam tadi.
Dalam usaha memperkukuh sokongan, UMNO kini memberi tumpuan kepada golongan muda termasuk pengundi 18 tahun dengan pendekatan yang lebih dekat dengan aspirasi mereka, bukan sekadar bergantung kepada naratif sejarah.
Langkah itu menunjukkan hasil apabila kira-kira 4,000 anak muda menyertai parti melalui pendaftaran dalam talian dalam tempoh 24 jam.
Wan Rosdy turut menegaskan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 adalah satu langkah matang demi kestabilan negara, tanpa mengorbankan prinsip asas parti.
Dalam masa sama, usaha melahirkan pemimpin pelapis diperkukuh melalui cadangan penubuhan Sekolah Pengkaderan UMNO, cetusan idea Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi membentuk barisan kepimpinan masa depan yang berdaya tahan dan beridentiti jelas.










