MARA Corp, Batik Air jalin kerjasama strategik perkukuh ekosistem MRO dan bakat penerbangan negara

KUALA LUMPUR,MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) memeterai kerjasama strategik bersama Batik Air menerusi pertukaran Surat Hasrat (LOI), dalam usaha memperkukuh keupayaan industri Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) serta pembangunan bakat penerbangan negara.

Majlis pertukaran LOI itu berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-60 MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Dokumen tersebut ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corp, Amir Azhar Ibrahim, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Chandran Rama Muthy. Turut hadir, Pengerusi MARA Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah MARA merangkap Pengerusi MARA Corp Zulfikri Osman serta pengasas Lion Air Group Rusdi Kirana.

Di bawah kerjasama itu, kedua-dua pihak berhasrat meneroka penstrukturan semula Asia Aerotechnic Sdn Bhd (AAT), selain membangunkan kerjasama jangka panjang dalam sektor MRO dan rantaian bakat penerbangan.

Antara komponen utama termasuk cadangan Batik Air untuk menubuhkan operasi penyelenggaraan asas di fasiliti hangar Subang, dengan memanfaatkan infrastruktur sedia ada bagi meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan operasi.

Dalam aspek pembangunan modal insan, Batik Air komited merekrut sehingga 200 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam tempoh empat tahun ke dalam program jurutera pesawat berlesen di bawah piawaian Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM Part 66).

Program itu akan disokong melalui latihan berstruktur di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), termasuk tajaan kewangan pada peringkat akhir pengajian serta jaminan peluang pekerjaan kepada peserta yang berjaya memperoleh pensijilan.

Amir Azhar berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan MARA Corp dalam membangunkan industri penerbangan bernilai tinggi melalui peningkatan keupayaan, kerjasama industri dan pembangunan bakat.

“Bersama Batik Air, kami menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab serantau yang kompetitif dalam kecemerlangan MRO,” katanya.

Menurut beliau, LOI berkenaan turut membuka potensi kepada penubuhan usaha sama atau perjanjian pemegang saham, termasuk pengaturan pengurusan interim dan pembangunan infrastruktur jangka panjang bagi menyokong pertumbuhan sektor penerbangan negara.

BBerkaitan

Latest articles