SEREMBAN: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menolak dakwaan melabel parti itu sebagai “derhaka”, sebaliknya menegaskan tuduhan tersebut hanyalah cubaan memanipulasi persepsi dan mengalih perhatian daripada isu sebenar melibatkan kepimpinan kerajaan negeri.
Dalam satu kenyataan media, sayap itu menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap UMNO sebagai tidak berasas, berunsur serangan peribadi dan sengaja memesongkan fokus rakyat daripada kegagalan Menteri Besar dalam mengurus krisis negeri serta isu berkaitan sensitiviti adat.
Menurut mereka, tindakan menegur kelemahan pentadbiran tidak boleh disamakan dengan penderhakaan terhadap Institusi Diraja, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab politik yang selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
“Label ‘derhaka’ adalah manipulasi politik. Menegur Menteri Besar bukan bermaksud mencabar Institusi Diraja, tetapi sebahagian daripada prinsip perjuangan parti,” tegas kenyataan itu.
Kenyataan tersebut menyusul selepas Sekretariat Taat Setia pada semalam mendakwa UMNO Negeri Sembilan menggunakan pentas ulang tahun sambutan parti itu baru-baru ini dengan mengheret Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni
Almarhum Tuanku Munawir dalam kemelut politik negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Megat D Shahriman bin Dato’ Zaharudin menggesa Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan seluruh 14 ADUN
BN membuat permohonan maaf secara terbuka, selain mahu siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa dan parti sendiri atas tindakan berkenaan.
Dalam pada itu Pemuda UMNO Negeri Sembilan turut menolak dakwaan kononnya parti itu cuba mengheret Institusi Diraja ke dalam polemik politik.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan menegaskan sekali lagi bahawa UMNO
menjunjung kasih dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku
Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“UMNO Negeri Sembilan tidak pernah, tidak sedang dan tidak akan menyokong
sebarang usaha tidak berperlembagaan untuk menggugat kedudukan DYMM
Tuanku.
“Sebarang dakwaan bahawa UMNO terlibat dalam konspirasi penderhakaan adalah fitnah berat dan mesti dibuktikan kepada pihak berkuasa. Isu yang dibangkitkan UMNO hanyalah berkaitan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar dalam mengurus krisis adat dan perlembagaan negeri.
“UMNO tetap menghormati Institusi Diraja, Undang Yang Empat, Adat Perpatih, Tunku Besar Tampin dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan mahu perkara ini diselesaikan melalui saluran
sah, termasuk Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, proses Dewan Undangan
Negeri dan lunas perlembagaan negeri,” katanya.










