KUALA LUMPUR: Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan tekanan sepanjang sejarahnya, UMNO ditegaskan tidak pernah mati, malah terus bertahan meskipun ada pihak yang mahu melihat parti itu berkubur.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perjalanan UMNO bukan hanya diwarnai kejayaan, sebaliknya turut dipenuhi episod getir melibatkan krisis kepimpinan, keyakinan rakyat serta perpecahan dalaman yang berulang hampir setiap dekad.
Menurut beliau, pola krisis tersebut menunjukkan keperluan mendesak untuk parti itu melakukan perubahan besar bagi keluar daripada ‘perangkap’ lama.
“Hakikatnya, hampir setiap 10 tahun, UMNO akan berdepan satu bentuk krisis. Namun setiap kali diuji, parti ini tetap bangkit dan mencipta anjakan baharu,” katanya ketika berucap menutup Konvensyen 80 Tahun UMNO di WTCKL.
Mengimbas sejarah, Zahid berkata penubuhan UMNO pada 1946 menjadi titik penting penyatuan orang Melayu dalam menentang Malayan Union, sebelum parti itu memainkan peranan memulihkan kestabilan negara selepas konflik perkauman.
Beliau turut menyentuh era kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein yang menyaksikan penyusunan semula landskap politik menerusi penubuhan Barisan Nasional serta pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Selain itu, krisis dalaman turut melanda pada 1987 apabila UMNO diharamkan sebelum dibina semula, diikuti krisis 1998 yang menguji kesetiaan ahli, kehilangan majoriti dua pertiga pada 2008 serta kekalahan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum 2018.
Mengulas detik 2018, Zahid berkata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah berusaha mempertahankan parti dengan sokongan pelbagai pihak termasuk dirinya.
Beliau turut meluahkan harapan agar Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan rayuan ahli parti supaya Najib dapat bersama mereka.
Dalam pada itu, Zahid menegaskan segala krisis yang dilalui telah membentuk ketahanan UMNO untuk terus relevan sebagai benteng kepada orang Melayu di negara ini.
Melangkah ke hadapan, beliau berharap UMNO mampu mencipta anjakan baharu dalam tempoh sedekad akan datang dengan memberi tumpuan kepada tiga agenda utama iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agung.
“UMNO perlu bergerak daripada sekadar mengurus krisis kepada membina masa depan yang lebih kukuh,” katanya.










