Kerajaan Gerak Usaha Selamatkan 10 Rakyat Malaysia Ditahan Israel

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang giat mengusahakan pembebasan 10 rakyat negara ini yang dipercayai ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri untuk mengambil tindakan segera selain menghubungi beberapa negara sahabat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Menurutnya, pelbagai saluran diplomatik sedang digerakkan bagi memastikan keselamatan kesemua rakyat Malaysia yang terlibat.

“Usaha sedang dijalankan. Saya sudah berhubung dengan kementerian dan juga rakan-rakan di luar negara. Mana-mana pihak yang boleh membantu, kita akan hubungi,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, Rawang.

Anwar menegaskan, kerajaan memandang serius insiden berkenaan yang disifatkan sebagai pencabulan terhadap prinsip kemanusiaan serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap nasib semua aktivis yang ditahan, termasuk dari negara lain, yang dipercayai dipintas ketika berada di perairan antarabangsa.

“Kita doakan keselamatan mereka semua. Tindakan ini jelas tidak berperikemanusiaan, apatah lagi ia berlaku di kawasan antarabangsa, bukan dalam wilayah Israel,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengecam tindakan berterusan Israel yang didakwa melancarkan serangan ke beberapa wilayah termasuk Gaza, Lubnan dan Iran, selain menghalang misi bantuan kemanusiaan.

“Bukan sahaja serangan terhadap orang awam berterusan, malah usaha membawa bantuan seperti makanan, ubatan dan pakaian juga cuba disekat,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Araby Abdul Alim Araby memaklumkan seramai 175 aktivis telah ditahan dan dibawa ke Israel oleh tentera negara itu, termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles