KUALA LUMPUR: Sentimen nostalgia terhadap era pentadbiran lampau serta imej sebagai parti berpengalaman dilihat menjadi antara faktor utama yang kembali menarik minat golongan muda terhadap UMNO, demikian menurut bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Malah beliau berkata generasi baharu kini mula menilai semula landskap politik negara dan melihat parti itu sebagai antara yang paling stabil berbanding yang lain.
Menurut beliau, rekod panjang UMNO dalam mentadbir negara memberikan kelebihan tersendiri, khususnya kepada anak muda yang baru memasuki usia layak mengundi.
“Bagi saya, UMNO kekal sebagai antara parti paling stabil hari ini kerana telah melalui pelbagai fasa dan pengalaman dalam kerajaan,” katanya ketika menghadiri program ‘Meet & Greet’ Pemuda UMNO bersama ahli baharu di Putra World Trade Centre (WTCKL), hari ini.
Tambahnya, elemen nostalgia menjadi penyumbang kepada generasi muda yang sebelum ini hanya menjadi pemerhati kini mula terlibat secara langsung dalam politik.
“Mereka yang kini berusia 18 tahun ke atas sudah boleh mengundi dan menjadi ahli. Bila melihat sejarah pentadbiran, UMNO mempunyai rekod yang jelas berbanding parti lain,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu bagaimanapun menolak tanggapan bahawa peningkatan penyertaan golongan muda didorong oleh pengaruh individu tertentu termasuk dirinya.
Sebaliknya, beliau percaya lonjakan keahlian itu adalah hasil usaha kolektif seluruh jentera parti, khususnya sayap Pemuda dan Puteri yang giat mendekati generasi muda.










