KUALA LUMPUR: Misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 berdepan detik mencemaskan apabila sebanyak 22 kapal yang membawa 186 aktivis dipintas oleh tentera Israel dalam satu operasi awal pagi tadi.
Daripada jumlah tersebut, enam kapal dilaporkan diceroboh dan ditahan, melibatkan sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia yang menyertai usaha memecahkan sekatan ke atas Gaza.
Antara rakyat Malaysia yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad yang berada di atas kapal Arkham III; Osman Zolkifli serta Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN); selain Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, flotila itu dihampiri secara agresif oleh kapal tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Menurut beliau, insiden tersebut berlaku antara pukul 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia ketika kesemua kapal berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza.
“Flotila ini berada di laluan pelayaran antarabangsa yang sah serta dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.
Beliau turut mendedahkan berlaku provokasi apabila tentera Israel melepaskan tembakan amaran ke arah kapal delegasi serta mengganggu frekuensi komunikasi radio milik aktivis yang tidak bersenjata.
Selain itu, kehadiran puluhan dron tidak dikenali turut dikesan di ruang udara kawasan tersebut, dipercayai digunakan bagi tujuan pemantauan dan gangguan komunikasi terhadap misi berkenaan.
“Rakaman audio dan visual jelas menunjukkan penggunaan naratif tidak tepat oleh pihak Israel untuk menghalalkan tindakan mereka, sedangkan flotila kekal berada di laluan antarabangsa tanpa melanggar sebarang protokol,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan semua delegasi yang terlibat serta mendapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi SNCC bagi mengelakkan kekeliruan.










