KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia termasuk pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad (ZRA), dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Israel selepas kapal yang mereka naiki dipintas dalam satu operasi awal pagi tadi.
Menurut laporan media, Zainal berada di atas kapal Arkham III atau Al-Faluja, manakala dua lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Dr Jihan dan Kapten Osman menaiki kapal Eros I dalam misi pelayaran tersebut.
Insiden berkenaan berlaku ketika misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan tindakan agresif apabila sekurang-kurangnya 11 kapal konvoi itu dikepung dan dipintas oleh tentera laut Israel berhampiran zon mencari dan menyelamat di perairan Greece.
Difahamkan, operasi itu turut disertai ugutan keras termasuk ancaman keganasan dan penculikan oleh pihak tentera Israel terhadap peserta flotila.
Perkembangan tersebut didedahkan menerusi akaun Instagram rasmi Sumud Nusantara yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan semua yang terlibat dalam misi berkenaan.
“Tindakan ini mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan misi serta menunjukkan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
“Kerajaan perlu bertindak segera bagi melindungi flotila ini serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran berterusan, termasuk terhadap rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, tentera laut Israel dilaporkan telah berhubung dengan rombongan GSF melalui kapal Greenpeace Arctic Sunrise, memberi amaran bahawa sebarang cubaan untuk menembusi sekatan maritim ke atas Semenanjung Gaza dianggap melanggar undang-undang antarabangsa.










