Jalaluddin Nafi ADUN UMNO ‘U-Turn’ Sokong MB

KUALA LUMPUR: Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menolak dakwaan kononnya wujud perubahan sokongan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu terhadap Menteri Besar negeri berkenaan.

Beliau menegaskan khabar angin yang tular mengenai beberapa ADUN UMNO-Barisan Nasional (BN) kembali menyokong Datuk Seri Aminuddin Harun adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas.

Menurutnya, pendirian kesemua 14 ADUN yang sebelum ini menarik sokongan kekal utuh tanpa sebarang perubahan.

Malah, beliau menegaskan keputusan tersebut dibuat secara bersama dan masih berkuat kuasa.

Sebelum ini, timbul spekulasi beberapa ADUN daripada kumpulan berkenaan dijangka mengisi kekosongan jawatan Exco kerajaan negeri, sekali gus mencetuskan andaian wujud rundingan baharu di peringkat kepimpinan tertinggi.

Laporan turut mendakwa kemungkinan calon-calon terbabit telah mendapat persetujuan awal susulan pertemuan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun perkara itu belum disahkan oleh mana-mana pihak.

Antara nama yang disebut-sebut termasuk ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin, yang kini memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Asna, menerusi satu kenyataan di laman sosialnya menafikan dakwaan itu semalam.

BBerkaitan

Latest articles