Bertanding Atau Tidak, Ismail Sabri Serah Pada Zahid Buat Keputusan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau tidak akan membuat keputusan sendiri mengenai penyertaannya dalam pilihan raya akan datang, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, soal sama ada beliau akan bertanding atau tidak bergantung sepenuhnya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika saya diberikan watikah, saya akan turun bertanding. Jika tidak, saya terima dan akur dengan keputusan tersebut,” katanya ringkas ketika ditemui pada majlis Pelancaran Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu dan Malam Puisi Mengukir Bangsa serta pelancaran buku berkaitan bahasa dan peradaban.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan isu pemilihan kerusi bukan sesuatu yang perlu dipersoalkan kerana ia merupakan bidang kuasa penuh kepimpinan parti.

“Soal kawasan bukan isu. Semua itu ditentukan oleh parti,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terbuka terhadap pendekatan UMNO yang kini berusaha memperluaskan keahlian kepada lebih ramai orang Melayu.

Menurutnya, langkah itu penting dalam usaha memperkukuh perpaduan dan memperkasakan kedudukan orang Melayu dalam landskap politik semasa.

“Saya menyokong usaha Presiden untuk membuka ruang kepada semua orang Melayu menyertai UMNO, termasuk mereka yang pernah dipecat, ahli parti lain atau yang tidak berparti,” katanya.

Tambah beliau, keterbukaan tersebut dilihat sebagai strategi penting untuk mengukuhkan kembali kekuatan parti dan menyatukan orang Melayu di bawah satu wadah yang lebih inklusif.

Pendekatan baharu ini, katanya, bukan sahaja bersifat strategik, malah selari dengan keperluan semasa bagi memastikan UMNO terus relevan dalam menghadapi cabaran politik akan datang.

BBerkaitan

Latest articles